Thursday, November 16, 2006

NASYID KONTEMPORARI YANG MEMATIKAN SEMANGAT BERJUANG

[NASYID KONTEMPORARI YANG MEMATIKAN SEMANGAT BERJUANG]

Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.

Alhamdulillah dengan izin Allah, Saifulislam Online telah selamat saya pindahkan ke server baru. Asal tujuan, semata-mata untuk membolehkan saya menempatkan koleksi mp3 nasyid alternatif kepada nasyid lain yang sedia ada di halaman-halaman yang lain. Sebagaimana yang telah saya jelaskan di halaman [ Nasyid ], banjiran dendangan nasyid-nasyid yang ada di pasaran hari ini seasalnya patut menjadi alternatif kepada gejala hiburan melampau yang wujud di dalam masyarakat. Tetapi entahlah, semenjak kemunculan kumpulan nasyid komersil menjelang tahun 2000, hari demi hari menyaksikan nasyid terpaksa mengikut kehendak arus yang sedia ada, dan bukan lagi cuba membentuk arus baru yang dikehendaki oleh Islam.


Di zaman nasyid berkompang pada akhir 80an hingga pertengahan 90an, kaset-kaset RM4 yang dijual di kawasan ceramah, di sekolah-sekolah agama dan kedai-kedai buku sambil menunggu bas ekspres pulang ke kampung itu, mengandungi himpunan lagu yang menguatkan semangat untuk berjuang. Malah daripada nasyid itu kita boleh mempelajari tentang perkembangan perjuangan gerakan yang didokongi oleh kumpulan berkenaan. Lihat sahaja Nadamurni, nasyid seperti Musafir Kelana, Kawan, dan kaset Selamat Tinggal Duniaku yang agak kontroversi kerana didendangkan oleh Muslimat mereka, mencerminkan era pembinaan jemaah al-Arqam. Kemudian terbit pula kaset Rindu, Munajat dan sehinggalah kepada Pulang Abuya Pulang, memahamkan kepada kita tentang apa yang berlaku kepada perjuangan mereka. Saya tidaklah berhasrat untuk memberikan komen tentang isi kandungan nasyid-nasyid itu. Album Cahaya di Ufuk Timur yang memuatkan muqaddimah fikrah Pemuda Bani Tamim dan Imam Mahdi itu telah difatwakan haram oleh beberapa tokoh di tempat saya belajar di Jordan, bilamana ia dipertimbangkan daripada kaca mata Al-Quran dan penjelasan sebenar Hadith-hadith yang sahih. Namun yang ingin saya pertekankan adalah nasyid di zaman berkenaan adalah nasyid fikrah, nasyid dakwah, nasyid bermesej dan nasyid yang membangkitkan semangat berjuang.

KEMUNCULAN AL-WADI DI MESIR

Begitu juga kita semua terhibur dengan kemunculan kumpulan Usrah al-Wadi oleh pemuda-pemuda yang menuntut di Universiti al-Azhar. Kaset pertama mereka, saya pun tidak pasti sangat apa tajuknya, dirakamkan di dalam bilik sahaja. Kalau tidak silap saya tajuknya ialah "Di Manakah Silapnya". Ketika itu saya masih di Tingkatan Empat 1991. Nasyid-nasyid yang mereka dendangkan dengan penuh makna itu banyak menyumbang kepada pembinaan fikrah dan diri. Sehingga ia seakan-akan menjadikan saya lebih tua dari usia sebenar. Lagu Wasiat Sayyid Qutb yang asal sebelum dirakamkan semula di dalam album keempat mereka "Islam Penyelesaian" sangat menyentuh hati. Begitu juga dengan lagu Di Manakah Silapnya yang menceritakan tentang perpecahan menjadi punca kejatuhan Ummah sangat berkesan kepada diri. Selepas album pertama itu, muncul pula album kedua edisi terhad yang diterbitkan sebanyak 500 unit sahaja jika saya tidak tersilap. Iaitu kaset sempena Hari Raya Aidilfitri. Di antara lagu yang sangat saya kenangkan adalah "Anak Kecil di Palestin" yang turut saya dan penyanyi utamanya persembahkan di hadapan Sultan Perak di Dewan DBI, Ipoh sempena pertandingan Nasyid Peringkat Negeri Perak pada tahun 1992. Semua orang terpegun dengan mesej tajam yang disampaikan bilamana nasyid kami anti klimaks. Orang lain sibuk mendendangkan nasyid goyang kepala dengan baju-baju yang menyilaukan mata, tiba-tiba kami dendangkan nasyid rintihan seorang anak kecil di Palestin yang meratapi kematian ibunya di pagi Aidilfitri oleh kekejaman regim Yahudi.

Begitulah seterusnya terbit album Kepimpinan Ulama, Islam Penyelesaian, Fajar Lebaran dan Belenggu Fatamorgana yang bila mendengar isi kandungannya, seakan-akan mendengar berita al-Jazirah! Ada nasyid tentang Bosnia, Tragedi Natrah, Masjid Babri, Kashmir, Afghanistan dan segala krisis umat Islam disentuh. Akhirnya nasyid Membangun Bersama Islam dan Islam Penyelesaian menjadi konklusi kepada semua tragedi tersebut. Begitu juga dengan nasyid Ideologi dendangan Dr Jamnul Azhar yang menyebabkan ramai ternganga. Nasyid itu dengan penuh sarcastic menyindir golongan sekular yang sangsi dengan Islam, dan lebih selesa dengan teori Niccolo Machiavelli.


UNITED KINGDOM TIDAK KETINGGALAN

Usrah al-Wadi di Mesir juga menghasilkan anak buahnya iaitu Usrah as-Soff yang pada album pertama dan keduanya banyak menyumbang kepada kategori nasyid pejuang. Pada masa yang sama juga, Sinaran Azhar oleh sahabat-sahabat Alami sempat menghasilkan beberapa buah album. Manakala di United Kingdom pula, rakan seperjuangan tidak ketinggalan menghasilkan beberapa album dan kumpulan yang kemudiannya dikenali sebagai Suara Tajdid itu telah mementaskan pentomin Salehuddin al-Ayyubi yang tidak akan saya lupakan. Album dengan cover Hitam Putih mereka, turut memuatkan sajak tentang insiden di Masjid ar-Rahman semasa kedatangan kumpulan kriket Yahudi ke Malaysia suatu ketika dahulu. Nama-nama seperti Razi, Ziad, Zamri, Najmi dan Azri adalah penghibur kita pada masa itu dari UK. Zaman itu kita kaya dengan nasyid yang memberi tenaga kepada pejuang agama, dan menjadi peluru tajam kepada yang menentang arus kebangkitan Islam. Alhamdulillah selepas saya lancarkan Saifulislam Online di server baru ini, rakan-rakan telah berhubung dan menyumbangkan koleksi mp3 Suara Tajdid. Halaman Suara Tajdid juga boleh diziarah di link [ UG5C ] ini.

DIRIKU BERSAMA USRAH AL-FIRDAUS

Angin nasyid di Mesir yang begitu kuat, bersemangat dan bertenaga menjadi aspirasi kepada rakan-rakan seperjuangan di Jordan dengan kemunculan kumpulan usrah al-Firdaus. Album pertama Usrah al-Firdaus diterbitkan sebelum saya tiba di Jordan lagi. Album Sang Suria menampilkan Majdan Alias, Erfino Johari dan ramai lagi munsyid pada masa itu. Mereka adalah juara di kuliah, mereka juga juara di medan amar ma'ruf dan nahi munkar, tetapi tidak menghalang daripada bernasyid lantas dendangan mereka adalah refleks kepada jiwa pejuang dan penuntut ilmu di jalan Allah.

Saya dilamar untuk menyertai kumpulan Usrah al-Firdaus semasa di Mekah. Ketika kami menyertai rombongan umrah pertama untuk pelajar-pelajar baru, saya dijemput untuk bersama-sama membuat persembahan di majlis ramah mesra bersama pelajar Malaysia di Madinah. Oleh kerana saya memang gemar bernasyid, maka lamaran itu diterima dengan sepenuh hati dan on the spot saya karangkan nasyid "Nostalgia Tanah Suci" untuk dipersembahkan. Orang lain sibuk membaca al-Quran, saya pula termenung mencipta nasyid tersebut di tingkat dua Masjidil Haram. Tetapi hanya untuk beberapa jam sahaja. Alhamdulillah, jiwa semasa itu masih puitis dan idea mencurah-curah. Nasyid itu adalah luahan hati saya yang kesal dengan sikap sesetengah kawan yang setibanya sahaja kami di Madinah (kami menaiki bas dari Jordan di utara Saudi, maka sampai di Madinah sebelum Makkah), yang mereka kagumkan adalah keindahan binaan Masjid Nabawi dan bukannya geledak iman dan perasaan diri sampai ke kampung halaman junjungan Nabi Muhammad SAW. Begitu juga apabila tiba di Makkah, yang dibualkan adalah kehebatan infrastruktur Masjidil Haram serta ramainya manusia di sana, dan bukannya 1001 hal yang tersirat tentang realiti umat Islam di sebalik penampilan zahir yang tersurat itu.

Kemudian, semenjak itu saya sentiasa meluahkan isi hati melalui nasyid yang saya cipta. Nasyid Tetamu Dataran Syam adalah di antara nasyid paling segera yang sempat saya siapkan. Ia ditimbulkan daripada sajak Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin tentang Bumi Syam. Saya bawa sajak itu ke dalam bilik kawan yang saya tumpang di Irbid, Jordan, dan saya ubah ia menjadi nasyid. Alhamdulillah sejam selepas itu siaplah nasyid Tetamu Dataran Syam yang kami dendangkan sempena menyambut pelajar baru tahun 1994 di dalam program Sambutan Pelajar Baru oleh Persatuan Pelajar Malaysia Jordan (PPMJ).

Nasyid-nasyid lain dikumpul bersama berkat derma yang dihulurkan oleh rakan-rakan seperjuangan. Alhamdulillah kami berjaya mengumpul wang untuk menghasilkan album kedua Usrah al-Firdaus bertajuk Gemilang pada tahun 1995. Album kedua ini, dirakam buat kali pertama di studio yang lebih 'profesional' berbanding rakaman di bilik yang generasi pertama Usrah al-Firdaus sental pintunya dengan kain pelekat agar soundproof. Di dalam album tersebut saya sumbangkan nasyid hampir 80% daripada keseluruhan album. Walaupun kualiti bunyi tidak memuaskan hati kami, namun ia tidaklah menjadi isu sangat. Apa yang penting adalah mesej yang hendak disampaikan. Kami cuba tingkatkan lagi kualiti audio dengan kemunculan album ketiga iaitu Dunia Ini pada tahun berikutnya. Di dalam album tersebut saya sumbangkan nasyid dengan jumlah yang hampir sama tetapi kali ini sebahagiannya didendangkan oleh sahabat yang lain termasuklah Bambang Erman dan Erwan Johari. Ia, Erwan yang kini menjadi DJ di IKIM FM . Tajuk album tersebut iaitu Dunia Ini, mengambil sempena nasyid yang beliau cipta dan dendangkan dengan lirik yang saya tulis. Selepas itu muncul lagi album seterusnya iaitu Bingkisan Aidilfitri yang digelar oleh sahabat-sahabat di Jordan sebagai "Bungkusan Aidilfitri" kerana cover kaset tersebut yang terlalu hodoh, seperti kotak geometri. Kedai yang mencetaknya telah menipu kami, membuang semua design yang asal dan digantikan dengan warna hijau pudar yang amat mendukacitakan. Saya masih menyumbangkan banyak nasyid di dalam album berkenaan tetapi saya sudah tidak menjadi munsyidnya lagi.

Pada masa itu saya rasa sudah terlalu 'tua' dan tiada kemampuan untuk berulang daripada Mu'tah ke Amman (200km) setiap hujung minggu, menggendong kitab-kitab untuk diulangkaji sambil rakaman di studio yang ada kalanya bermula pada jam 11 malam hingga subuh. Tetapi sebenarnya saya sudah mula patah semangat kerana di zaman itulah nasyid kontemporari semakin popular dan demand semakin tinggi untuk nasyid kompang ditinggalkan dan digantikan dengan yang lebih moden serta kontemporari. Moden bukan sahaja pada alat muziknya, bahkan moden pada lirik. Nasyid tentang nasib ummah, nasyid tentang jihad dan perjuangan saudara-saudara Islam sedunia dan segala macam nasyid yang membawa 'mesej berat' semakin tersisih.

NASYID BUKAN MELAYU LEBIH KONSISTEN

Maka pada masa itu saya mula mengalihkan diri kepada nasyid bukan Melayu yang lebih konsisten. Nasyid Abu Ratib, Abu al-Joud, Abu Mazin dan 'Abu-abu' yang lain dari Syria dan Jordan menjadi bahan hiburan pada masa tersebut. Konsert nasyid berkenaan [Mahrajan Intifadhah], bila dihadiri, terasa seperti mahu meloncat ke atas pentas disebabkan oleh tiupan semangat intifadhah melalui persembahan mereka. Di antaranya adalah kumpulan Firqah ar-Rawabi dengan lagu 'Marwan'nya. Nasyid tersebut menceritakan tentang Marwan, seorang pelajar University of Jordan yang semasa cuti semester, telah pergi berjihad ke Palestin dan dikurniakan syahid! Saya juga mengumpulkan nasyid-nasyid dari Turki [Ilahiler] dendangan para huffaz seperti Prof Mehmet Emin Ay dan Mustafa Demirci , serta Ahmed Ozhan yang begitu menusuk jiwa dan menjadi unggun api terhadap semangat saya mengkaji sejarah Daulah Othmaniyyah. Lebih menggembirakan pada masa itu, selepas Solat Tarawih di Uskudar, saya dan jemaah masjid terus ke seberang jalan masuk ke khemah besar yang disediakan untuk orang ramai mendengar persembahan live nasyid-nasyid itu tadi. Bulan Ramadhan di Istanbul pada masa itu membawa kita semua terbang bypassing era Ataturk untuk tembus pulang ke hari-hari Khilafah Othmaniyyah yang gilang gemilang. Saya rindukan suasana itu.

Nasyid-nasyid di Turki mempunyai disiplin seni yang unggul bahkan dendangan yang sama pernah digunakan di zaman pemerintahan Khilafah Othmaniyyah untuk mengubat pesakit jiwa di hospital. Artikel Prof. Dr. Ayhan Songar bertajuk "Socio-Psychiatric Institutions in Old Turks Under Islamic Tradition " menjelaskan secara terpeinci tentang hal ini. Tidak malu pada diri saya untuk menyebut inilah dia apa yang dinamakan sebagai kesenian Islam. Berbanding dengan nasyid-nasyid kontemporari Malaysia yang ada hari ini, konsertnya dinamakan sebagai Malam Kesenian Islam tetapi bagi yang tidak memahami Bahasa Melayu akan kehairanan melihat pemuda-pemuda berketayap mendendangkan lagu pop! Janganlah dikaitkan Islam dengan seni yang pathetic seperti ini!

DAN KINI...

Hinggalah ke hari ini, saya masih meminati nasyid walaupun usia sudah menjangkau 30an. Kisah-kisah itu tadi sudah menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah hidup saya. Tetapi saya gagal untuk terhibur dengan nasyid yang membanjiri pasaran hari ini. Bahkan jangan tersinggung jika saya katakan yang saya geli geleman dengan kebanyakan nasyid yang ada. Anak saya, Muhammad Saiful Islam tidak akan saya lembikkan dengan nasyid-nasyid itu. Saya tidak mahu anak saya menganut Islam yang lembut gemalai ketika ummah sedang tenat. Selepas saya namakan ia Saiful Islam, alangkah pincangnya 'Pedang Islam'ku menyanyikan nasyid yang tidak ubah seperti Westlife.

Kerana itulah saya berazam untuk menghidupkan koleksi nasyid pejuang melalui halaman web ini. Mungkin telinga sahabat-sahabat sekalian akan merasa sakit dengan bunyi kompang tajam dan rendahnya kualiti rakaman studio 24 trek di dalam mp3 berkenaan. Maafkan kami kerana semasa itu kami tiada duit. Nasyid tidak komersil. Ia hanyalah bahan hiburan pejuang. Pejuang yang berjuang... ( copied from SaifulIslam.online )

No comments: